Sunday, May 3, 2009

Rekreasi Hujung Minggu di Hutan Lipur Bukit Lagong (14/03/09)


Meluangkan masa hampir seharian di Hutan Lipur Bukit Lagong menjadi pilihan rekreasi hujung minggu kali ini. Program anjuran Lafuma Malaysia Adventure Group (LMAG) disertai sebilangan peserta yang minat pada reakreasi alam. Hutan lipur yang berada di daerah Selayang, Selangor ini mungkin masih asing dikalangan masysarakat Lembah Klang. Cuma beberapa meter dari Ibupejabat Polis Daerah Gombak terpampang papan tanda hutan lipur ini.
Bermula dari butik Lafuma di Bangsar, kedai sukan rekreasi di Jalan Telawi kami seramai 7 orang menaiki MPV ke hutan lipur. Cuaca pagi yang mulanya hujan renyai-renyai menyusutkan bilangan penyertaan disaat-saat akhir. Nasib kami agak baik, di Selayang bukan sahaja tidak hujan malah mentari mula menyinar garang.

MPV kami menyusuri jalan hutan lipur ini melepasi penempatan Orang Asli hingga akhir jalan berturap. Sebaik sahaja turun dari kenderaan, kami meluruskan urat-urat serta mula memanaskan badan selepas sessi ice-breaking.

Awal perjalanan kami tidak sunyi, bunyi unggas-unggas selain deruan jeram yang berhampiran mengamit suasana. Hutan lipur ini yang menjadi destinasi peminat burung atau lebih dikenali bird-watcher terdiri dari beberapa rintis. Kami memilih rintis penarik yang menghala ke atas salah satu bukit di sini.

Perjalanan kami makin lama makin jauh ke tengah rimba. Sedikit-demi sedikit kami mendaki. Peluh mulai keluar dan bahang panas mula terasa. Beberapa sarang burung jelas kelihatan di atas pokok yang sayup tingginya. Tanpa peralatan binokular kami dapat perhatikan sarang-sarang yang dibuat diatas kanopi rimba. Suatu pemandangan yang sukar diperolehi bagi jungle trekker.

Langkah demi langkah kami aturkan, adakalanya melintasi jeram dan ada pula meniti tebing bergaung. Ada flora yang menjadi tarikan diperjalanan kami seperti cendawan butang sebesar 15 inci diameter. Pokok kayu serai wangi yang baunya tidak asing dikalangan pengguna minyak-minyak tradisional.

Fauna seperti serangga dan unggas tak terlepas dari perhatian kami. Sekumpulan burung layang-layang yang terbang umpama pesta cukup menarik minat kami. Lama kami memerhatikan suasana ini sebelum beredar meneruskan perjalanan.

Jam 10:30 pagi kami sudah berada di kawasan puncak. 20 meter menghampiri puncak dipenuhi belukar dan semak-samun.Di destinasi terakhir kami bergambar berkumpulan sebagai kenangan. Kami berehat seketika sebelum memulakan perjalanan turun dilaluan yang sama.

Mentari menyinar semakin terik, rentis yang banyak terdedah dengan panahan matahari ini menjadi cabaran buat kami. Rentis yang dianggarkan sejauh 5 KM dirasa semakin jauh semasa pulang berbanding perjalanan pergi.

Akhirnya kami selamat kembali ke MPV kami jam 12:30. Sebelum pulang kami singgah sebentar di Air Terjun Bukit Lagong. Beberapa pengunjung memeriahkan suasana disini. Melihat gelagat dan telatah mereka sudah cukup menyejukkan badan kami lebih-lebih lagi tiada persalinan yang dibawa untuk mandi-manda. Jam 1:30 kami kembali ke Bangsar dan bersurai.
~ Apip ~

1 comment:

Syahrann said...

boleh beritahu tempat spesifik air terjun bkt lagong